|
Ziarah Ajmer dan Hyderabat, India 25 - 31 Mei 2012 : Nota Perjalanan

Kembara ke Ajmer dan Hyderabad India adalah rehlah yang cukup bermakna dalam menelusuri jalan para Aulia’ Allah yang sentiasa menepati jalan Sunnah Baginda Sayidina Rasulillah s.a.w, mereka sangat istiqomah bermujahadah di Jalan Allah swt. Ianya menjadi pedoman dan ingatan sejati buat kita semua. Ketinggian Akhlak Sheikh Moinuddin Hasan Chishti meratai segenap lapisan masyarakat, kebaikan beliau ‘melimpahi’ baik untuk orang Islam dan mereka yang tidak beriman, hinggakan separuh dari muslim di India masuk Islam di bawah usaha dakwah beliau dan anak-anak muridnya. Tahun ini merupakan tahun ke 800, Haul beliau.
Ringkasan Latar belakang Hazrat Khwaja Moin‐ud‐Din (Moinuddin) Hasan Chishti
(sumber : Wakil Chishti Malaysia)
Hazrat Khwaja Moin‐ud‐Din (Moinuddin) Hasan Chisti dikenali sebagai “Khwaja Gharib Nawaz”, beliau
antara yang termashyur di kalangan keturunan Sayidina Rasulillah s.a.w. Keperibadian beliau telah menyinar kegelapan bukan hanya di Asia tetapi di seluruh dunia.
Keturunan beliau terkenal dengan ketakwaan mereka, kemurnian, kejujuran, kebenaran, integriti, dan
adab mereka.Seperti Sayidina Rasulillah s.a.w, Baginda merupakan menara cahaya pada zaman Baginda, keturunan Khwaja Gharib Nawaz memiliki personaliti menjulang tinggi.
Ia benar bagi mengatakan beliau mewarisi kerohanian Baginda Sayidina Rasulillah s.a.w.
Beliau berkait rapat kepada Al‐Imam Hussain (disebelah bapa) dan juga Al‐Imam Hassan (disebelah ibu).
Gelaran
Hari ini, berdekad telah berlalu, nama beliau terus diingati, beliau telah digelar dengan pelbagai gelaran.
Gelaran yang termasyhur adalah :
Ata‐e‐Rasul (hadiah nabi)
Khwaja‐e‐Ajmer (Khwaja Ajmar)
Khwaja‐e‐Bazurg (Khwaja yang Agung)
Hind‐ul‐wali (Wali India)
Gharib Nawaz (Penaung orang miskin)
Sultanul‐Hind (Rohani Berdaulat dari India)
Ada juga yang menggelarkan beliau seperti berikut :
Tajul Muqarrabeen wa Muhaqqeqeen
Syed‐ul‐Abedeen ( Tuan Alim )
Tajul‐Ashiqin (Putera para pencinta)
Burhan‐ul‐Wasaleen (simbol bersatu)
Aftab‐e‐jehan ( cahaya dunia)
Panah‐e‐Bekasan ( pelindung dari mereka yang kesusahan )
Mengapa menggelarnya Chisti
Ianya berlaku ketika beliau berjumpa Hazrat Khwaja Mumshad Ali Dinwari dan beliau mengutarakan niat
beliau untuk menjadi anak murid. Ketika menjadi anak murid, Hazrat Khwaja Mumshad Ali Dinwari
menanyakan tentang nama beliau, beliau menjawab “hamba yang rendah diri ini dipanggil Abu Ishaque
Shami.” Maka Hazrat Khwaja Mumshad Ali Dinwari menjawab “ mulai saat ini kami akan memanggil
kamu Abu Ishaque Chisti”
Hazrat Khwaja Abu Ishaque Shami, bergerak ke Chist bagi melibatkan dirinya sendiri dalam mengajar
dan menyebarkan risalah.
Terdapat para ilmuan pada zaman beliau, contohnya Hazrat Khwaja Abu Ahmad Chisti, Hazrat Khwaja
Mohammad Chisti, Hazrat Khwaja Abu Yusuf Chisti dan Hazrat Khwaja Qutubuddin Modud Chisti mereka
semua hidup,berkerja,meninggal dunia dan dikebumikan di Chist.
Kerohaniannya dikenali sebagai ‘Chisti’. Kesemua para ilmuan yang harus diingati adalah guru
kerohanian dan pembimbing Hazrat Khwaja Gharib Nawaz. Maka Gharib Nawaz turut digelar sebagai
‘Chisti’.
Kehidupan Awal
Zaman kanak‐kanak beliau tidak seperti kanak‐kanak seusia yang lain, semasa beliau di peringkat masih
menyusu, jika ada wanita bersama anaknya menziarahi rumah beliau, dan anaknya itu menangis, beliau
akan membuat isyarat pada ibunya bahwa susu beliau harus diberikan kepada anak itu. Ibunya pun
menyusukan anak itu oleh kerana memahami isyarat tersebut. Walaupun pada ketika umurnya hanya 3 atau 4 tahun, beliau selalu menjemput kanak‐kanak seusianya dan memberi makan kepada mereka.
Pada suatu ketika, Hazrat Khwaja Gharib Nawaz sewaktu kanak‐kanak, beliau memakai pakaian yang
cantik sedang menuju ke suatu tempat, didalam perjalanan beliau terserempak dengan seorang kanak-kanak yang buta mengenakan pakaian yang sudah koyak, lalu beliau mengambil pakaian koyak tersebut
dan memberikan pakaian beliau. Beliau tidak pernah bermain dengan kanak‐kanak seusianya.
Pendidikan Awal
Beliau dibesarkan di Khorasan. Beliau menerima pendidikan awalnya dirumah, beliau telah menghafal
Al‐Quran seawal 9 tahun.Kemudian, beliau memohon kemasukan sekolah di Sanjar, beliau memberi tumpuan di bidang Hadith dan Fiqh. Dalam masa yang singkat beliau mempunyai pengetahuan yang agak baik.
Seperti Sayidina Rasulillah s.a.w, Beliau juga menjadi anak yatim pada usia hampir 15 tahun. Pada 15 syaaban 544 hijrah ayahnya meninggal dunia. Selepas kematian ayahnya, hartanya dibahagikan, diwariskan, bahagian beliau hanyalah batu pengisar dan sebuah taman. Inilah yang membentuk sumber rezeki.
Pertemuan dengan Hazrat Ibrahim Qandoozi,
554 hijrah (1150 masihi)
Pada usia awal beliau gemar menemani para ilmuan dan menghormati mereka. Pertemuan beliau dengan Hazrat Ibrahim Qandoozi mengubah halatuju kehidupan beliau.
Ia berlaku pada satu hari di antara bulan Sya’ban dan Zullhijjah pada tahun 544 hijrah (pada usia beliau 15 tahun) semasa beliau menyiram air di tamannya, Hazrat Ibrahim Qandoozi secara tiba‐tiba memasuki taman beliau. Beliau menyambut dengan penuh ihsan dan mengalu‐alu kedatangannya.
Dan menghadiahkan segugus anggur kepada Hazrat Ibrahim Qandoozi.
Hazrat Ibrahim Qandoozi sangat gembira dengan penghormatan yang diberikan kepadanya. Setelah pertemuan itu, beliau berasa meluat dengan hal ehwal keduniaan. Beliau terpikat kehidupan yang lebih tinggi lalu beliau menjual batu pengisar dan tamannya,hasilnya diedarkan di kalangan orang fakir. Setelah selesai diedarkan beliau pun memulakan langkah beliau untuk mengembara mencari kebenaran.
Meninggalkan Baghdad bersama Ahli Sufi
Memasuki Falooja dan Makkah
Tibanya mereka disana mereka tinggal di sebuah Bandar sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah.
Gharib Nawaz berkata;
“ setibanya kami di Makkah, kami akan menziarahi Kaabah dan tawaf. Guruku
memegang tangan ku sambil berdoa dihadapan Kaabah. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Madinah dan menziarahi Makam Nabi Muhammad S.A.W.
Guruku berpesan kepadaku agar memberi salam kepada Sayidina Rasulillah s.a.w.
Tiba di Oosh.
Gharib Nawaz berkata;
“Dengan rasa rendah diri, Yang Dihormati Hazrat Khwaja Osman dan beberapa Ahli Sufi berjalan bersama,. Semasa dalam perjalanan kami bertemu seorang sufi bernama Sheikh Bahaudin. Beliau adalah seorang yang hebat. Beliau terkenal dengan sifat murah hati, jika beliau berjumpa sesiapa, Beliau tidak akan membiarkan tetamunya dengan tangan kosong, pasti ada pemberian yang akan diberi.Kehadiran beliau bersama kami telah memberi banyak ilmu dan nasihat. Salah satu nasihatnya ialah;
“’Wahai saudaraku, Apa sahaja yang kamu peroleh, infaqkan lah (laburkan) ke jalan Allah S.W.T. jangan disimpan wangnya. Berilah makanan kepada orang yang kelaparan. Semoga Allah merahmatimu.’”
Kembali ke Baghdad
Gharib Nawas Berkata;
“ Khwaja Usman Harooni pulang ke Baghdad dan memulakan kehidupan yang Zuhud”
Khwaja Usman Harooni berkata;
“ Aku tidak akan keluar dari tempat ini untuk beberapa hari, engkau harus datang
kepadaku setiap hari selepas matahari terbit (Subuh), maka dapatlah aku meriwayatkan kepadamu mengenai ‘Alam Mistik’ dan ‘Pengetahuan Ilahi’ dan Manfaatkanlah ilmu-ilmu tersebut kepada pengikut mu”
Gharib Nawaz berkata; “ Dengan rendah diri aku mematuhi permintaannya, aku berjumpa dengannya sepertimana masa yang ditetapkan, apa sahaja yang aku dengar dari Guruku ini aku mencatatnya “
Dalam masa inilah Gharib Nawaz menyiapkan bukunya yang berjudul Anisul Arwah yang mempunyai 18
bab . Penyerahan Jubah Sheikh Ohaduddin Kirmani dan Sheikh Shahabudin Umar Suharwardy.
Hazrat Khwaja Gharib Nawaz dikurniakan Jubah Sheikh Ohaduddin Kirmani dan Jubah Sheikh
Shahabudin Umar Suharwardy.
 |
 |
| Kompleks Chishti |
Pintu masuk |
Menerima Peninggalan Suci dan Menjadi Pengganti 582 hijrah (1186 masihi)
Selepas menghabiskan masa selama 20 tahun menemani guru beliau mengembara , susah sampai masa
nya untuk berpisah. Beliau berpisah bersama gurunya ketika berusia 52 tahun.
Semasa didalam majlis, Hazrat Khwaja Usman Harooni telah menjadikan beliau ‘Sajjada Nashin’
menggantikan Hazrat Khwaja Usman Harooni dan merahsiakan kepadanya peninggalan suci yang telah
menjadi amalan Chisti turun temurun.
Lalu Gharib Nawaz berkata; “Guruku, Khwaja Usman Harooni telah berkata kepadaku.
‘Wahai Moinuddin, Aku telah buat semua ini untuk kebaikan engkau, engkau hendaklah perlihatkan dan mengikuti ajaran yang telah disampaikan kepada engkau. Maka sesungguhnya ajaran ini benar, jadikan ia terkemuka, semoga engkau tidak akan merasa malu di hari pengadilan kelak.’
Selepas berkata demikian beliau member kepadaku sebatang tongkat dengan memuliakan aku dengan
mengurniakan kepadaku Jubah, Sandal dan Sejadah.
Kemudian beliau berkata; ‘Barang peninggalan ini ialah suci dan mulia , ianya turun temurun dari guru guruku yang menerimanya dari Baginda Sayidina Rasulillah s.a.w dan aku memberikan kepadamu, engkau hendaklah menjaganya sepertimana yang kami lakukan, berpegang kepadanya sehingga engkau menjumpai pencari yang sebenar,amanahkan kepada mereka, jangan berharap kepada mereka, kemudian tinggallah jauh dari mereka dan asingkan lah diri dari masyarakat, jangan menuntut dan jangan pula meminta dari mereka’
Gharib Nawaz menyambung: Setelah selesai beliau mencium dahi ku dan kedua mata ku lalu beredar.”
Menunaikan Haji di Makkah dan menerima seruan Baginda Sayidina Rasulillah s.a.w
583‐586 hijrah (1187‐1190 masihi)
Semasa beliau menunaikan solat di hadapan Kaabah, beliau terdengar satu suara berkata ;
“Wahai Moinuddin! Kami menerima mu, engkau telah diberi keselamatan, mintalah apa apa yang engkau kehendaki” Beliau menyahut kata kata itu;
“Wahai Tuhanku, berilah keselamatan kepada para pengikut dan anak-anak muridku”
Suara itu menjawab;
“Wahai Moinuddin,engkau telah diterima Kami, akan Kami beri keselamatan kepada
para pengikut dan anak-anak murid mu dan sesiapa yang akan mengikutimu
sehingga Hari Pembalasan.”
Setelah selesai menunaikan solat beliau menunaikan Haji, setibanya di Madinah beliau menunaikan
solat di Masjid Quba Madinah, semasa di sana, beliau menerima arahan dari Baginda Sayidina Rasulillah s.a.w:
“Wahai Moinuddin pembantu agamaku, Aku mengamanahkan Negara Hisdustan (India). Teruskan perjalananmu ke Ajmer dan sebarkan kepada mereka Kebenaran.”
Setelah menerima amanah ini beliau gembira tetapi tertanya tanya di manakah Ajmer ini terletak. Pada
waktu beliau mengantuk dan terlelap seketika, kemudian beliau telah dikurniakan dalam mimpi dengan
bertemu Baginda Sayidina Rasulillah s.a.w, Baginda telah menunjukkan kepada beliau di mana terletaknya Bandar Ajmer dan situasi disana, dia diucapkan selamat tinggal oleh Baginda Nabi dengan pemberian buah delima dari Syurga.
Hari‐Hari Terakhir
Qutub Sahib berada bersama Khwaja Gharib Nawaz di Ajmer. Beliau telah merasakan saat itu adalah saat saat terakhir beliau. Qutub Sahib memberitahu, pada saat terakhir Khwaja Gharab Nawaz selesai mengajar beliau terus menangis dan berkata, " Inilah sebabnya aku telah dibawa ke sini, tempat ini akan menjadi tempat bersemadiku. Dalam beberapa hari lagi, aku akan tiada dimuka bumi ini"
Kemudian beliau meminta Hazrat Khwaja Ali untuk menyediakan "Amanah Bertulis"
Beliau ( Gharib Nawaz) memberikan pada ku dan Menjadikan aku Khalifah di Delhi. Aku menunduk
hormat dan merapati beliau lalu beliau menyarungkan aku serban, tongkat Khalifah Usman, sejadah dan
sandal.
Beliau berpesan kepada Qutub Sahib agar memegang Amanah yang telah diberi. Gharib Nawaz berada di saat terakhir beliau, beliau telah melantik Qutub Sahib menjadi penganti beliau
sebagai Khalifah. Beliau ingin tidur, tidur sekarang dan tidur selamanya. Pada hari isnin 6 rejab 627 hijrah ( 21 mei 1229 masehi) , setelah solat waktu malam, beliau memasuki biliknya dan menutupi pintu bilik. Beliau tidak membenarkan sesiapa memasuki bilik beliau, sepanjang malam orang ramai mendengarkan bunyi yang pelik datang dari bilik Gharib Nawaz.
Ketika fajar menyinsing bunyi tersebut tidak kedengaran lagi, pintu masih tertutup ketika waktu solat
subuh, pengikutnya merasakan sesuatu tidak kena lalu pengikutnya membuka dan mendapati bahwa
beliau telah meninggal dunia dan di dahi beliau tertulis :
" Beliau dicintai Allah dan mati dalam cinta Allah"
Pada malam tersebut sesetengah ulama' bermimpi bertemu baginda Rasulullah s.a.w dan Baginda
bersabda: " Moinuddin ialah hamba disayangi Allah, dan hari ini Aku menyambut beliau"
Solat jenazah beliau diketuai ( di Imami ) oleh anak sulong beliau khwaja Fakhruddin. Ribuan manusia
menyembahyangkan jenazah beliau.
Makam beliau kini diziarahi oleh beratus ribu penziarah yang datang dari setiap pelusuk dunia.
Sambutan Hol beliau disambut 1 hingga 6 rejab setiap tahun, disambut besar‐ besaran dan dihadiri oleh
ribuan hadirin.
*Khwaja : Khawaja atau Khwaja (Bahasa Arab: khawājah, Persia: khavâje) adalah sebuah gelaran (Yang Dihormati) yang digunakan sebahagiannya di Timur Tengah dan Asia Selatan.
*Hazrat : Sayidina atau Hadhrat (Hadrah, Arab: atau Hazret atau Hazrat) adalah gelar kehormatan Arab digunakan untuk menghormati seseorang. Terjemahan harfiah dari Hadrah adalah "Keberadaan". Dalam penggunaan itu sebanding dengan Gelar kehormatan tradisional Barat menangani pejabat tinggi, seperti (untuk hakim) "Mulia" (untuk royalti), "Yang Mulia"
atau (untuk pendeta tinggi) "His Holiness". Istilah ini juga dipinjamkan ke Turki dan Bosnia sebagai "Hazreti".
Muslim Asia selatan biasanya tambahkan kata "Hazrat" untuk nama orang terhormat sebagai tanda hormat. Dengan demikian, kata ini mungkin sering muncul sebelum nama‐nama tokoh Muslim dalam budaya Islam.
Ziarah Al-Jenderami ke Ajmer dan Hyderabat, India 25 - 31 Mei 2012
: Nota Perjalanan
24 Mei 2012 Khamis : 3 Rejab 1433Hijrah
8:50mlm Tiba lapangan terbang Delhi, India (Waktu India)
Suhu mencecah 42°Celsius, bahang panas kering walau di malam hari. Setelah mengambil wuduk di bilik air, masing-masing keluar bahagian luar ‘airport’ Delhi untuk sembahyang jamak takhir Maghrib-Isyak, Hj Ridwan mula mengeluarkan kompas manual mencari arah kiblat, kita hamparkan sejadah di kaki lima luar ‘airport’. Waktu di Malaysia 2 jam 30 minit lebih awal berbanding di India. Jadi Isyak telah masuk 8.37 mlm tadi.
11:15 malam bertolak dari Delhi
Setelah menunggu berapa ketika, kenderaan untuk ke Ajmer sampai; ‘coaster antik’ jenama Force dengan 12 tempat duduk. Juru kamera video yang baru Saudara Shafazir duduk di hadapan dan yang lima orang yang lain termasuk Al-Fadhil Sheikh mula mengambil tempat masing-masing. ‘Force’ mula bergerak, pemandunya penduduk tempatan seorang India beragama Hindu…mula menegur mesra..tapi kami hanya memandang sepi sebab tidak faham apa yang diperkatakan dalam bahasa Hindi, cuma sekali sekala keluar dari mulutnya bahasa Ingeris pekat dialek India, kami mengangguk ‘setengah faham’.
Kenderaan mula meninggalkan kawasan Delhi, sepanjang perjalanan kelihatan banyak lori-lori besar memenuhi jalanraya berbanding kenderaan awam. Kenderaan komersil ini menuju bandar industri Jaipur. Keadaan muka bumi di kiri-kanan jalan seperti separa-gurun dengan tumbuhan kayu kontang, berdebu. Sekali-sekala kita melewati kedai-kedai makan ‘koboi’, memang tidak boleh singgahpun sebab ianya kedai makan Hindu. Kalau terasa lapar makan sahaja bekal; kurma dan biskut. Mungkin ada yang kalangan yang berpendapat, kata mereka boleh saja makan makanan orang Hindu sebab mereka ‘vege’: hanya makan makanan berasaskan sayuran/tumbuhan. Itu bukan ‘kaji’nya, ia jauh berbeza makanan yang disediakan oleh orang beriman dengan tidak. Dari basuhan makanan, sumber makanan, cara penyediaan hinggalah ke tangan tukang masaknya; memang terbaik jika ianya disediakan oleh orang yang Solat.
Jika yang Islam tapi tidak solat, kita jauhi makanan masakannya; apalagi yang tidak Beriman. Makanan suci di sesi syarak membentuk peribadi mulia; pendek kata yang menjurus kepada syubahat dan Haram; tinggalkan sahaja, jika ingin kembali nanti kepada Allah Azza Wajala suci zahir dan batin. Mudah-mudahan apa yang termaktub dalam kitab-kitab Ulama yang kita ‘tadah’, Insyallah kita selusuri dan jalani, Wallahualam…
Malam makin larut, sekali-sekala tidak lena tidur disebabkan ‘air-con’ yang terlalu kuat dipasang, sejuk-beku jadinya. Menjelang subuh (waktu Subuh 4:05pagi) , masih tiada kelihatan masjid, stesen minyak pun jarak antara satu sama yang lain begitu jauh. Jadi ‘musyakah’/kesulitan nisbah tempat solat dan keselamatan singgah di tengah kawasan separa-gurun serta waktu makin lanjut, Al-Fadhil Sheikh mengarahkan kita ‘solat hormat waktu’ sahaja. Masuk waktu ‘terbit matahari’ kita tiba berhampiran Jaipur, pemandu memberitahu perjalanan berbaki lagi kurang lebih 2 jam lagi, Al-Fadhil Sheikh mengarahkan pemandu untuk meneruskan perjalanan; tidak perlu berhenti rehat.
 |
 |
| Menuju pintu Utama Kompleks Chishti |
Gerai yang terdapat di kaki lima jalan
|
25 Mei 2012 Jumaat : 4 Rejab 1433 Hijrah
7:30pagi Tiba Bandar Ajmer (Waktu India)
Pemandu ‘Force’ memberhentikan kenderaan di tengah bandar Ajmer yang yang hiruk-pikuk dengan manusia, tiada bangunan pencakar langit di sini. Ianya bandar warisan yang penuh dengan seni bina klasik Islam dan sebahagian bangunannya masih mengekalkan seni bina Hindu. Di situ seorang wakil dari Hotel Jai Palace telah siap menunggu, setelah beberapa ketika berunding dengan pemandu Tut-tut (di sini ia dipanggil ‘auto’) iaitu kenderaan tiga roda berbumbung; boleh memuatkan 3 orang penumpang-saiz normal orang Malaysia dan menggunakan engin Vespa-Paggio, dikemudi menggunakan ‘handle’ seperti yang terdapat pada motor Vespa.
Kita disumbat sekali dengan beg-beg kami ke dalam 2 auto; memang sesak dan padat. Pemandu ‘auto’ memulakan perjalanan, mula-mula mengikut jalanraya biasa, tiba-tiba dia membelok memasuki lorong-lorong pejalan kaki yang sempit-terhimpit antara bangunan-bangunan rumah. Jalan pula berlubang-lubang dan tidak rata, bawa pula dengan laju dan tergesa-gesa. Jadi kami bertiga; Al-Fadhil Sheikh dan Haji Deen (Hj Khairudin) terhangguk-hangguk serta bergoncang kuat setiap kali roda ‘auto’ menghendak jalan yang tidak rata. Rasa nak tergelak pun ada, tapi kami hanya tersenyum lebar melihat gelagat pemandu ‘auto’ seperti menunggang motor ‘rally’.
Jai Palace Hotel agak selesa berbanding Sahil Hotel yang didiami jamaah pada tahun lepas, mengikut kata Hj Ridwan MEDIA, iaitu orang penting yang menguruskan trip ke India, ini tahun ke tiga berturut-turut beliau menziarahi Ajmer.
Minum pagi di kedai makan orang Islam iaitu Restoren Gharib Nawaz (Gharib Nawaz gelaran yang diberi kepada Kutubul-hind Sheikh Moinuddin Chishti yang bermaksud Penaung orang miskin). Restoren ini telah dipilih oleh Syed Tashoor Chishti, untuk memastikan pemiliknya benar-benar Islam. Setelah minum pagi kami bersiap-siap untuk solat Jumaat di Kompleks Chishti. Memang kompleks ini dikawal ketat oleh pihak Polis Kerajaan India kerena ia menjadi tumpuan orang ramai dari berbagai latar belakang sama ada dari dalam dan luar negara. Untuk Majlis Hol tahun ini sahaja, iaitu dari 1 hingga 6 Rejab hampir 3juta orang menziarahi kompleks ini. Setiap pintu masuk ada dipasang ‘metal detactor’ dan dikawal oleh anggota polis; kamera dan beg besar tidak dibenarkan di bawa masuk. Walaupun Kompleks ini di bawah selian Keluarga Besar Chishti namun kita kena patuh setiap peraturan keselamatan yang tetah ditetapkan oleh pihak polis. Bukan itu sahaja, mengikut kata pemilik hotel ramai juga penyeluk saku yang berkeliaran di dalam dan luar kompleks.
 |
 |
| Al-Fadhil Sheikh sedang mengagihkan makanan |
Pintu Gerbang masuk ke Masjid batu marmar |
25 Mei 2012 Jumaat : 4 Rejab 1433Hijrah
12.00pagi Bersiap untuk Solat Jumaat (Waktu India)
Setelah masing-masing bersiap untuk Solat Jumaat, kami menunggu di ruang lobi hotel. Kemudian Syed Tashoor iaitu adik kepada Syed Tahoor pun sampai untuk menjemput kami ke Kompleks Chishti, sekali lagi meredah laut manusia dan berbagai gelagat yang dapat lihat. Ada yang menjunjung barang peribadi dalam guni di atas kepala, ada yang datang sekeluarga dengan anak cucu, yang lain pula terbaring di atas pelantar beroda; uzur/orang kurang upaya mengharap sumbangan dari mereka yang lalu lalang, di satu sudut pula kelihatan seorang muda sedang makan dengan penuh nikmat di tepi saliran air; tiada lauk-pauk yang sedap-sedap, hanya nasi ‘berlaukkan’ kuah kosong. Kalau di tanah air, sesetengah orang mungkin merungut panjang jika di beri nasi kosong berkuah sahaja. Itu belum lagi terpaksa makan di tepi saliran air yang memang tidak bersih. Menjadi cabaran hidup di negara yang penuh sesak ini, makan hanya untuk ‘survival’ harian namun mereka tetap gigih mengharung pancaroba dunia.
Di kiri-kanan jalan utama banyak gerai menjual berbagai barang-barang dari kain-baju-shawl, kopiah, gelang perhiasan, manisan, periuk belangga tahan karat ‘stainless steel’ hingga kepada penjaja persendirian yang menjual air minuman peket di tepi jalan; untuk memastikan rakyat kebanyakan dapat membeli air minuman (air tersebut telah dipeket di dalam plastik sebesar saiz tapak tangan…sedikit sahaja kandungan airnya...hingga ke tahap itu), walaubagaimanapun ia tidak menjamin kebersihan sumber air tersebut. Sehingga ada pengeluar air minuman yang ‘berjenama’ mencetak di botol mereka; “air minuman adalah baik untuk kesihatan tetapi hanya baik jika ianya bersih….” Mengambarkan air minuman di peket/dibotol yang dijual di jalan dengan berbagai jenama belum tentu bersih atau bebas kuman…
Kami telah dibawa ke pintu berhampiran ruang bagi tetamu khas dengan diringi oleh Syed Tashoor, alhamdulillah agak mudah untuk masuk melalui pintu ini, namun untuk membawa masuk kamera kami perlu mengisi borang kebenaran dari pihak polis.
Ruang tetamu khas itu tidak sebesar mana, cukup memuatkan 9 orang (3 orang satu saf), ada pintu jerigi besi yang menempatkan tempat duduk Sheikh Chishti dan di belakangnya bersambung dengan dewan untuk aktiviti Qawwali (iaitu qasidah dan alunan sufi yang diringi harmonium dan tabla). Kami perhatikan Sheikh Chishti telah mengantung gambar besar Kompleks Al-Jenderami di dinding ruang tamu khas itu, Al-Fadhil Sheikh senyum gembira apabila terpandang gambar tersebut.
Rupanya bukan kami sahaja yang awal, jamaah yg lain turut masuk awal untuk memastikan dapat tempat solat dalam kompleks Chishti. Setelah hampir lebih sejam, kami dikejutkan dengan dentuman meriam..sungguh kuat bunyinya , kemudian barulah azan berkumandang. Yang menariknya, ada seorang petugas yang memakai ‘mic-head set’ sambil menyandang ‘portable speaker’ (kalau di Al-Jenderami ini tugas Pak Komar kita, mungkin tahun depan perlu dibekalkan ‘portable speaker’ juga) memberi arahan kepada jamaah supaya menyusun, memenuhkan saf dan jamaah yang diarah akur memberi kerjasama yang baik sedangkan mereka ini datang dari seluruh pelusuk benua India termasuk dari luar negara.
Dalam kepanasan suhu 42°celsius, jamaah tetap duduk dengan tenang walau tiada penghawa dingin. Cuma sekali-sekala datang tukang kipas menghayunkan kipas besar untuk menyejukkan ahli jamaah, mereka bertugas dengan penuh ikhlas, menerima berapa sahaja nilaian rupee yang dihulur, tiada meminta-minta. Sesudah azan, khubah dibaca dalam bahasa Arab. Seuasai solat Jumaat kami pulang semula ke Hotel sambil menjengah gerai-gerai yang terdapat di sepanjang jalan, seperti biasa mencari ole-ole, buah tangan untuk keluarga dan sahabat-sahabat di tanah air. Dalam pada itu, terdapat ramai orang sedang mengerumuni sebuah gerai, rupannya mereka menunggu giliran untuk mendapatkan ‘chai’... minuman istimewa di sini iaitu teh dicampur susu segar, beza utama teh tersebut dimasak dengan api yang kuat didalam cerek atau periuk dan dihidang dalam cawan atau gelas kecil dan memang terasa sedap teh tersebut tidak seperti di tanah air, jika di ‘order’ teh di kedai mamak dihidangnya gelas besar, tak cukup dengan itu, Masyallah.. susu pekat lebih 1cm dituang. Jika kita dihidang dengan teh di India, jangan ditolak, kerana jika ditolak ia ibarat seperti tidak menghormati tuan rumah.
 |
 |
| Khidmat mengipas jamaah |
Penjual 'chai' di Ajmer |
25 Mei 2012 Jumaat : 4 Rejab 1433 Hijrah
Selepas Isyak
Selepas Isyak, kami di hidangkan dengan satu persembahan khas ‘Qawwali’ alunan qasidah sufi yang diiringi alat instrument Harmonium dan tabla. Kebiasaanya ‘Qawwali’ ini memuji kebesaran Allah swt dan mencerita perihal Saiyidina Rasulillah s.a.w. Ruang tamu khas ini terletak di sisi Masjid Ajmer ; masjid ini diperbuat daripada batu marmar sepenuhnya dan telah dibina oleh Shah Jahan.
Kemudian kami di bawa ke Pejabat Dargah Shariff, Dargah adalah Makam para Ulama Besar atau Wali Allah. Di sini segala sumbangan direkodkan dan dikeluarkan resit rasmi. Kemudian Al-Fadhil Sheikh pergi menjenguk ke kawasan memasak yang menempatkan 2 kawah gergasi yang boleh memuatkan lebih dari 1 tan beras. Di sisinya ratusan guni beras siap tersusun untuk dimasak buat fakir miskin.
 |
 |
| Persembahan Qawwali |
Kawah besar diguna untuk memasak |
26 Mei 2012 Sabtu : 5 Rejab 1433 Hijrah
Pagi hari lagi, kami sudah bersesak-sesak mendaki bukit ke Makam Sheikh Muhammad Ibrahim Chishti. Dari atas bukit ini dapat dilihat dengan jelas keliling bandar Ajmer. Dalam perjalanan turun dari bukit kami terserempak dengan kumpulan Hadrah sedang mengalunkan qasidah untuk beberapa orang di sebuah rumah. Kami melalui jalan bersebelahan kolam air besar yang dalam, dinding kolam dan bangunan yang mengelilinginya dicat dengan warga hijau. Dalamnya kolam tersebut kurang lebih 3 tingkat bangunan. Air yang berpunca dari mata air ini di saring dan diproses untuk di buat air minum dan sebahagian lagi untuk kegunaan wuduk bagi semua pengunjung ke Kompleks Chishti.
 |
 |
| Kolam tadahan air untuk kegunaan pengunjung |
Teres tingkat 2 yang menghadap Masjid |
Pada waktu Maghrib kami di bawa ke kawasan teres tingkat 2 menghadap kompleks Chishti, ketika sebelum Azan Maghrib suasana agak tenang dan hening, apabila masing-masing berdoa sendiri dengan penuh khusyuk.
Di sebelah malam kami berkunjung ke Zauqi Manzil, penempatan bagi Jamaah Chishti dari Malaysia, bertanya khabar dan berbincang hal umat. Bilik yang didiami oleh ketua Chishti Malaysia begitu strategik kerana dari ‘balcony’ biliknya ia menghadap terus ke Kompleks Chishti, suatu pemandangan indah apbila Masjid dan seluruh kompleks dihias indah dengan lampu berbagai warna, ya...seceria hati umat yang berhimpun di kompleks ini, tidak seperti di tempat-tempat lain walaupun masjidnya besar namun suram, kurang jamaah..nak dapat penuh satu saf pun suatu mujahadah besar, yang ceria adalah kompleks-kompleks membeli-belah; terang-benderang seperti tiada mahu ditutup waktu malam. Dari ‘balcony’ itu dapat dilihat berbagai gelagat manusia; ada yang sedang solat di masjid, tidak kurang yang sedang berwuduk, yang berdoa, berwirid, berzikir guna hampir kepada Allah swt, yang ahli khidmatnya tidak henti-henti menabur bakti merai keperluan umat yang datang. Suatu pengajaran besar jika kita mahu meninggikan syiar Islam dan mengimarahkan masjid...pasti ada jalannya...bagi yang mahu sungguh-sungguh, memikirkan hal umat..
Sesudah itu, kami kembali bahagian bawah bangunan di suatu ruang bersebelah dengan kolam tadahan air tadi. Di sini kita dihidangkan pula dengan nasi beriani dan roti chapati; khabarnya santapan malam itu dimasak sendiri oleh bonda mereka, turut meraikan kami adalah abang kepada Syed Tahoor. Setelah meraikan hajat ‘tuan rumah’ yang mahu menjamu kami, kita kembali semula ke ruang tamu khas bersebelahan masjid, ada acara istimewa rupanya...Haji Peer Syed Nafis Miya Chishti iaitu antara ‘sesepuh’ Chishti dengan rasa besar hati telah menghadiahkan dan melilitkan serban kepada kami berenam..lain rasanya nak mengambarkan keadaan serbannya..tuan-tuan boleh melihat sendiri gambar serban istimewa ini. Syed Tahoor juga menghadiahkan manisan Ajmer di dalam kotak serta gambar Kompleks Chishti yang dicetak di atas kain baldu hitam serta yang teristimewa adalah kopiah Chishti dari baldu warna merah yang diperbuat dari kain ‘khas’. Kemudian sebagai kenangan kami bergambar beramai-ramai di hadapan Pintu Gerbang Utama yang ketika itu penuh sesak dengan para penziarah.
 |
 |
| Gambar kompleks Al-Jenderami di ruang tamu |
Di hadapan Pintu Gerbang Utama |
27 Mei 2012 Ahad – 6 Rejab 1433 Hijrah
Hari terakhir di Ajmer berkemas-kemas untuk bertolak ke ‘Airport’ Jaipur, perjalanan memakan masa kurang lebih 2 jam. Sebelum itu kita kami pusing keliling kawasan kompleks untuk melihat suasana sambutan yang bertambah meriah, pengunjung bertambah ramai kerana menghampiri acara kemuncak pada 06 Rejab. Singgah sebentar di sebuah kedai makan, bukan untuk menjamu selera tapi Raja Rahman berhajat untuk memberi makan fakir-miskin. Di restoren ini disediakan kupon makanan yang berharga 20rupee cukup untuk makan seorang. Jadi kita bayar 500rupee, Insyallah kita dapat memberi makan untuk 25 orang, terpulang berapa banyak kita hendak sedekah. Yang bagusnya, setelah kita beli kupon-kupon tersebut, kita sendiri yang mengagihkan kepada fakir-miskin, Insyallah sumbangan sampai terus kepada mereka yang berhajat, kemudian mereka dapat menukar kupon tersebut dengan makanan.
Jam 1.05 petang, kami mula bergerak dari lobby hotel, suasana sayu seketika, nampak dilihat dari riak muka Syed Tashoor dan saudaranya Khusro dan saudara-saudaranya yang lain. Pesan kami kepada Ahli Keluarga Besar Chishti, Insyallah jumpa lagi di Al-Jenderami Majlis Maulid Kubro 2013, Rabiul Awal 1434 hijrah. Yang pastinya ini bukan ziarah terakhir, Insyallah dimurahkan rezeki dan diluaskan perjalanan...kami hadir lagi...
 |
 |
| Kumpulan Hadrah |
Pejabat pentadbiran |
27 Mei 2012 Ahad – 6 Rejab 1433Hijrah
Lapangan Terbang Jaipur
3.15petang Pesawat Boeing 737-800, SpiceJet berlepas dari ‘Airport’ Jaipur. Kemasan dan konsep dalaman kapalterbang seakan Airasia...nama sahaja yang lain. Tambang kurang lebih INR 7,000rupee bersamaan MYR 402ringgit. Tujuan kami seterusnya Hyderabat...tempat kelahiran Guru Besar Al-Jenderami iaitu Al-Habib Abu Bakar b. Hasan Al-Attas. Peratusan populasi penduduk di sini sebenarnya 50-50 antara umat Islam dan orang Hindu dan lain-lainnya.
Lapangan Terbang Hyderabad
Tiba di Hyderabad jam 5.40 petang, turun dari pesawat suatu prosedur yang agak pelik dan mengelikan hati; apabila hendak menaiki bas ‘airport’ untuk ke terminal, pihak ‘security’ telah meminta ‘boarding pass’, kami memandang sesama sendiri; menggeleng kepala dan gelak kecil; sampai ke situ tahap keselamatannya; memang tidak logik sebab dari pemerhatian kami kebanyakan penumpang apabila telah meninggalkan pesawat langsung tidak ambil hal ke mana perginya cebisan ‘boarding pass’ mereka...
Setiba di ‘Lobby airport’ berehat sebentar di ruang menunggu sementara Raja Rahman dan Hj Ridwan menguruskan pengangkutan dan penginapan, yang lain-lain ambil kesempatan menukar wang US Dollar atau Ringgit Malaysia kepada Indian Rupee, memang lah rugi tukar di ‘Airport’ sebab kadar tukaran mahal, tetapi sebab ‘stok’ dah habis kena tukar duit juga. Seperkara lagi jika kita hendak menggunakan talian Prabayar/Prepaid di sini, prosedurnya agak merumitkan, tidak seperti di Indonesia, beli kartunya (Sim Card) tukar ‘setting’ dah boleh guna taliannya. Di sini anda kena sediakan gambar passport, salinan passport, nama & telefon rujukan di India seperti Pengurus Hotel yang anda menginap atau sahabat-sahabat di India, procedur ini sama untuk talian Vodafone, Aircel, Idea, Tata dan yang lain-lainnya. Jadi jika kita perlu guna talian tempatan, pastikan selesaikan urusan di ‘airport’ sahaja, sebabnya ‘Sim Card’ tidak dijual ‘di tepi-tepi’ jalan seperti di Malaysia.
Lama juga menunggu semua urusan selesai hingga masuk Maghrib, cari ruang di ceruk penjuru ruang menunggu yang agak tersorok untuk solat jamak Maghrib-Isyak. Kami hamparkan sejadah untuk berjamaah, tapi seperti biasa di mana-mana ‘airport’ pun, pasti banyak mata-mata memerhati melalui CCTV yang terpasang di syiling, tiang dan dindingnya. Apabila kami hendak mula solat, datang pula ‘Airport security’ menegur untuk menghalau kami, tetapi setelah diterangkan dengan berhikmah, akhirnya ‘security’ tersebut berundur..begitulah apabila negara di perintah oleh orang yang tidak beriman, umat yang ramai pun tidak dapat membela nasib agama sesama sendiri...walau terdapat pekerja Islam di situ...wallahualam
Setelah menunggu sekian lama, baru urusan selesai. Ahkirnya kami menaiki Toyota Innova yang dipandu oleh seorang beragama Hindu untuk menuju ke ‘Old Hyderabad’ iaitu Kota Lama Hyderabad. Khabarnya di sini ramai orang Islam. Kami menginap di Taj Mahal Hotel, nama memang ‘grand’, tapi sebenarnya ianya adalah hotel antik, bangunan kerajaan zaman kolonial British yang diubah-suai dijadikan hotel. Kemasannya dalamannya bagus... reka bentuk moden, cuma tiada ‘lift’, jadi menapaklah untuk 4 hari ini turun-naik tangga ke tingkat 3...Di Hyderabad ini, bekalan elektrik terputus hampir setiap hari, sebab itu kita tengok memang ‘Back-up Gen-set’ (Janakuasa tambahan) benar-benar berfungsi. Apabila elektrik putus, ‘chief security’ akan meniup wisel..isyarat supaya pekerjanya menghidupkan ‘Gen-set’ yang mengunakan diesel ini.
 |
 |
| Masjid Mecca (Makkah) |
Di hadapan Charminar |
28-31 Mei 2012 Ahad-Khamis : 7-10 Rejab 1433Hijrah : Hyderabad
Hari pertama sampai ke Hyderabad, untuk mencari kedai makan Islam agak sukar, kalau ada pun kurang bersih. Jadi kena fikir dua tiga kali kalau hendak makan di kedai tersebut. Di beberapa kedai yang kita singgah, walaupun nampak Islam, kami akan menanyakan adakah kedai ini milik orang Islam, sehinggakan ada tuan kedai menjawab... “Yes...I’m pure Muslim”..Rupanya kebanyakan kedai-kedai makan Islam itu berapa di sekitar ‘Old Hyderabad’..Bandar Hyderabad Lama, namun kebersihan tetap perlu dipastikan...tidak boleh bermudah-mudah menyuap makanan yang nampak enak tetapi tidak ‘bersih’...
Hari seterusnya.. Kami melawat ke sebuah Masjid Besar bernama Masjid Mecca (Makkah), menurut cerita; batu yang membentuk salah satu pintu gerbang utamanya diperbuat dari sebongkah batu besar didatangkan dari Makkah, macamana ia didatangkan dari Tanah Haram...wallahulam. Untuk masuk ke masjid ini pun kena lalu ‘metal detactor’ macam masuk KLIA ...scanner sahaja yang tidak ada. Begitu juga hendak masuk kedai makan di hotel, pasaraya, muzium Salar Jung ....kena ‘scan’ juga, agaknya mereka ini hidup dalam ‘kerisauan’.
Masjid ini akan penuh ketika diadakan Majlis Maulidurasul s.a.w, menurut kata penjaganya ada 25 orang petugas di situ, wallahualam..kerana melihat dari persekitaran kawasan dalaman kurang bersih. Old Hyderabad dikelilingi kota besar Kesultanan Islam dahulu, dukacitanya warisan kegemilangan Islam ini tidak begitu terjaga atau dipulihara dengan sempurna. Salah satunya adalah Charminar iaitu gerbang di tengah bulatan jalanraya, memang hebat binaannya tetapi di dindingnya berconteng dan tiada ternampak usaha bersungguh-sungguh untuk memeliharanya. Dari empat sisi Charminar terdapat jalanraya yang menuju ke arah bulatan ini dan setiap jalan masuk ini mempunyai Pintu Gerbang yang gah setinggi kira-kira 3 tingkat bangunan. Walaupun ini kota lama Islam, namun telah mula ada ‘kuil-kuil’ yang menempel di jalan masuk dan di tengah Charminar. Begitu peringatan untuk kita jika warisan dan kekuatan ummah tidak dijaga, bukan hanya faham selain dari Ahli Sunnah wal Jamaah akan menerjah, yang ‘tidak beriman’ tiada pernah berehat dengan usaha mereka untuk ‘mencuri-mencuri peluang’.
 |
 |
| Haji Deen mengenakan serban Hyderabad |
Anak-anak di kompleks Yusoffain |
Seperkara yang utuh di sini adalah cara mereka menutup aurat, yang wanitanya berjubah hitam dan berpurdah. Bukan hanya menjadi pegangan agama, telah juga menjadi adat orang perempuan di sini tidak mudah bercakap atau berbual dengan dengan lelaki bukan muhrim atau orang dari luar negara. Mereka cukup menjaga batas pergaulan, setakat pemerhatian kami tiada yang nampak ‘tidak cukup kain’ atau ‘terdedah auratnya’.
Dari segi ekonomi, ramai juga peniaga besar Islam yang menguasai pasaran di sini. Antara barangan keluaran utama mereka adalah perkakas memasak seperti periuk, kuali serta set hidangan. Memang nampak jelas ‘stainless steel’; keluli tahan karat yang diguna untuk membuat peralatan ini adalah dari keluli yang bermutu tinggi.
Hari berikutnya kami ‘meneroka’ Old Hyderabad ini untuk mencari pengilang periuk besar kerana ada kalangan jamaah Al-Jenderami dari Kuala Lumpur telah menginfaqkan sejumlah wang, khas untuk membeli periuk-periuk ini bagi kegunaan memasak Briyani Kambing khusus bagi Majlis-majlis di Al-Jenderami. Akhirnya kami ditemukan dengan sebuah kedai Islam iaitu ‘Regal Brass’ yang menjadi pengilang periuk-periuk ini.
Pemilik asalnya telah mula menumpukan masa untuk beribadat, jadi perniagaannya telah diserahkan kepada anak beliau iaitu Said Rayee. Seorang yang peramah dan sabar melayan pelanggan. Hampir sehari suntuk Al-Fadhil Sheikh, Raja Rahman dan Haji Ridwan menguruskan pembelian periuk-periuk tersebut. Oleh kerana saiz yang diminta oleh Al-Fadhil Sheikh agak besar iaitu 4 biji periuk berdiameter 37 hingga 42 inci yang setiap darinya boleh memuatkan 90, 100, 110 dan 120kg beras maka kami telah dibawa ke kilangnya untuk mendapatkan periuk-periuk bersaiz besar tersebut. Memang berat, besar dan agak tinggi periuknya. Setelah ‘telinga’ periuk dipasang, Raja Rahman dan Hj Ridwan menguruskan ‘forwarder’ untuk dihantar melalui pengangkutan udara.
Jadi peralatan untuk memasak makanan dalam kuantiti yang lebih besar telah tersedia, sepertimana pesan Al-Habib Abdul Rahman Al-Habsyi Kwitang, Jakarta; sesiapa yang berasa seronok hadir Majlis Maulid s.a.w, tahun hadapan sekurang bawa teman/sahabat masing-masing (dengan sendirinya jamaah yang hadir akan bertambah sekali ganda) sekarang jadi tugasan setiap yang hadir untuk menjadikan ia suatu kenyataan.. jika kita berasa seronok, gembira hadir Maulid...ajak sahabat-sahabat yang lain untuk merasakan keseronokan tersebut...itu antara Sunnah Saiyidina Rasulillah s.a.w...iaitu ‘memasukkan kesukaan ke dalam hati mukminin’...
 |
 |
| Antara 4 pintu gerbang yang menuju Charminar |
Kedai menjual periuk belangga |
Hari terakhir di Hyderabad kami menziarahi Makam Sheikh Syed Sharfuddin Soharwardi di Pahadi Shareef, Hyderabad (kira-kira 6 km dari Lapangan Terbang Hyderabad), tempat bersejarah ini mengikut keluarga penjaga makam tersebut telah berusia 746 tahun. Dalam perjalanan ke makam, Innova yang kami naiki ditahan polis. Kelam kabut pemandu tersebut, hinggakan dia mematikan engine kereta, cabut kunci dan keluar dari Innova, hingga tidak boleh berfikir kami dalam Innova ini kepanasan. Panjang lebar pulak dia bertekak dengan polis tersebut, akhirnya dia terpaksa membayar 10rupee sahaja (kira-kira 60sen), mungkin ada perkara lain yang menyebabkan dia nampak begitu ketakutan.
Kompleks ini terletak di atas bukit, terdapat sebuah masjid di sebelah makam ini. Di sini kami berjumpa dengan seorang remaja bernama Syed Muhsin, begitu ramah dan baik hati kerana sanggup berkhidmat kepada kami dan menemani kami sepanjang berada di kompleks tersebut walaupun tidak memahami percakapan kami. Kompleks ini memang bersih dan terjaga dengan baik. Diselia oleh kaum kerabat Ahli Keluarga ‘tareqah Soharwardi’ juga asalnya dari Iraq. Seperkara yang menarik, terdapat takungan air di atas bukit berbatu tersebut. Begitu jua, jalan belakang menuju ke makam adalah melalui lorong yang seperti dipahat menembusi bongkah batu besar.
Setelah itu kami terus menuju ke ‘Airport’ Hyderabat. Seribu satu kenangan dan pengalaman yang kami lalui, yang membuat kami berasa bersyukur hidup di Bumi Tanah Air Melayu...Malaysia yang mana telah dari dulu Ulama-ulama pondok dan madrasah yang tiada kepentingan dunia...secara ikhlas menyemai benih Islam ke dalam Hati Umat Melayu. Warisan yang tiada ternilai ini, harus dipelihara dan disuburkan sentiasa. Apa pun, ia menjadi petanda jelas bahawa pulang ke tanah air...usaha khidmat Agama ke jalan Allah dan menepati Sunnah Habiballah Saiyidina Rasulillah s.a.w perlu dipergiatkan secara istiqomah dengan penuh kesungguhan dan kesempurnaan. Hyderabad menjadi suatu ingatan tegas bahawa, tamadun Islam yang beratus tahun...akan pudar dan kelam dek asakan ‘Dunia dan kuncu-kuncunya’. Setiap seorang harus berperanan walau sekecil mana sumbangannya, namun usaha yang Ikhlas tetap ‘besar’ di sisi Allah Aza Wajala...Wallahualam..
Sila klik untuk Lihat Album
 |
 |
| 'Ikram' warga emas: Sdr Shafazir & Hj Deen |
Bersama ahli keluarga tareqah 'Soharwardi' |
 |
 |
| Kompleks Sheikh Syed Sharfuddin 'Soharwardi' |
Jalan menembusi bongkah batu besar |
|